October 13, 2013

Erti Tarbiah Dari Hari Arafah

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

 

Arafah Sebaik-Baik Hari

Wukuf di Arafah ialah rukun haji yang terpenting, tanpanya tidak sah ibadah haji. Arafah iaitu hari yang mana hati secara fitrah mengagungkan Allah SWT, Tuhan semesta alam. Hari Arafah juga sebaik-baik hari yang pernah matahari terbit, hari makrifah, hari pengampunan, hari yang diturunkan rahmat dari Tuhan Pencipta bumi dan langit.
.
“Daku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah; Tiada sekutu bagiNya, dan daku naik saksi bahawa Muhammad adalah hamba Allah dan utusanNya; Dan pilihan-Nya dari sekalian makhluk dan kekasih-Nya yang telah memuliakan hari Wuquf di Arafat dan mengagungkan dengan begitu jelas dan terang tentang kemuliaan dan keutamaan hari ini. Ya Allah! Berilah selawat, salam dan keberkatan ke atas penghulu sekalian makhluk dan kekasih Allah dengan salam sebanyak-banyaknya.”
.
A.    Kelebihan Hari Arafah
Hari Arafah adalah hari pertemuan dan perjumpaan besar antara hamba yang merdeka dan Tuhannya yang Maha Menerima Taubat lagi Maha Mengasihani, kerana hari Arafah adalah hari makrifah, hari kebebasan, hari doa, hari kesempurnaan agama dan nikmat dan hari perpisahan.
.
Terlalu banyak keistimewaan dan kelebihan Hari Arafah di antara ialah:
.

1.  Hari Kemuliaan

Di antara kemuliaan hari ini ialah Allah SWT telah bersumpah dengan hari Arafah.
Firman Allah SWT:

وَالسَّمَاءِ ذَاتِ الْبُرُ‌وجِ ﴿١﴾ وَالْيَوْمِ الْمَوْعُودِ ﴿٢﴾ وَشَاهِدٍ وَمَشْهُودٍ ﴿٣

“Demi langit yang mempunyai tempat-tempat peredaran bintang-bintang; Dan hari (pembalasan) yang dijanjikan; Dan makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu, serta segala keadaan yang disaksikan.”  (Surah Al-Buruj: 1-3)
.
Rasulullah SAW bersabda: “Makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu ialah hari Jumaat, dan segala keadaan yang disaksikan ialah hari Arafah, Jumaat adalah yang terbaik daripada Allah kepada kita.” (Ad-Dur al-Mantsur: 8/463 dan At-Tabary).
.
Begitu juga Allah SWT telah bersumpah dengan kebesaran hari mulia ini. FirmanNya:

وَالْفَجْرِ‌ ﴿١﴾ وَلَيَالٍ عَشْرٍ‌ ﴿٢

“Demi waktu Fajar; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).”  (Surah Al-Fajr: 1-2)
.
Menurut Abdullah bin Zubair: “Dari 1 Zulhijjah hingga Hari Korban adalah termasuk hari Arafah.” (At-Tabary).
.
2.  Hari Disempurnakan Agama-Nya
Hari Arafah adalah hari yang agung kerana hari ini Allah telah menyempurnakan agama-Nya, dan melengkapkan nikmat-Nya:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَ‌ضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agamamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Al-Maidah: 3).
 

3.  Hari Bulan Suci

Hari Arafah adalah termasuk satu hari dalam bulan-bulan suci di mana Allah SWT berfirman:

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ‌ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ‌ شَهْرً‌ا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْ‌ضَ مِنْهَا أَرْ‌بَعَةٌ حُرُ‌مٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya).” 
(Surah At-Taubah: 36).

4.  Hari Beramal Soleh

Hari Arafah adalah salah satu hari dari hari-hari sepuluh yang dilebihkan untuk melakukan amal soleh seperti yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya:
“Tiadalah hari untuk beramal soleh yang paling disukai Allah dari hari-hari ini, iaitu hari-hari sepuluh (10 hari pertama Zulhijjah). Para sahabat bertanya; Wahai Rasulullah..Bukan jihad fi sabillah? Jawab nabi; Ya, Jihad fi sabillah tidak dapat mengatasinya, kecuali seseorang yang keluar berjihad dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak pulang membawa sedikitpun daripada jiwa dan hartanya itu (menemui syahid).”  (Ahmad, al-Bukhari, Abu Daud dan Ibn Majah) “..

5.  Hari Pembebasan

Hari Arafah adalah hari pembebasan. Rasulullah SAW telah bersabda:
“Tidak ada satu hari pun yang di hari itu Allah lebih banyak membebaskan hamba-Nya dari api neraka daripada hari ‘Arafah, sebab pada hari itu Dia turun kemudian membangga-banggakan mereka di depan para malaikat seraya berfirman: ‘Apa yang mereka inginkan? ‘” (Sahih Muslim 3275).
Hari Arafah adalah hari yang utama di mana Allah Ta’ala membebaskan hamba-hambaNya dari api neraka dan Allah membangga-banggakan orang-orang di Arafah di depan para malaikat.
.

6.  Hari Permohonan Doa

Hari Arafah adalah hari doa dan hari perjumpaan antara hamba yang merdeka dan Tuhannya yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani. Pada hari pengampunan yang agung ini betapa banyak kebimbangan telah dilepaskan, dan berapa kesedihan telah diredakan dan berapa banyak keperluan telah ditunaikan. Oleh sebab itu Rasulullah SAW menggesa supaya membanyakkan berdoa pada hari yang agung ini. Baginda SAW bersabda:
“Sebaik-baik doa ialah doa pada hari ‘Arafah. Sebaik-baik ucapan yang pernah aku dan rasul sebelumku ungkapkan ialah tiada tuhan melainkan Allah …” (Riwayat at-Timizi).
.

B.    Pengajaran Daripada Hari Arafah.

1.  Hari Peringatan

Pada hari ini mengingatkan kita kepada suatu urusan yang agung dan besar, yang menambahkan keimanan dan menguatkan hubungan dengan Pemilik Agama. Iaitu mengingatkan tentang hari kiamat dan melengkapkan persediaan dan bekalan untuk hari itu kerana pada hari itu perasaan tidak terkata dan nurani tidak tertulis, tetapi hanya dapat dinikmati bagi siapa yang melaksanakannya, seperti mana ada bijak pandai pernah mengatakan: “Siapa yang merasa dia tentu tahu.”
Ini adalah hari seumpama hari Perhimpunan terbesar seperti dalam FirmanNya:

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً لِّمَنْ خَافَ عَذَابَ الْآخِرَ‌ةِ ۚ ذَٰلِكَ يَوْمٌ مَّجْمُوعٌ لَّهُ النَّاسُ وَذَٰلِكَ يَوْمٌ مَّشْهُودٌ ﴿١٠٣

“Iaitu hari yang dihimpunkan manusia padanya. Dan hari yang demikian ialah hari yang dihadiri oleh sekalian makhluk.” (Surah Al-Hud: 103).
.
Oleh itu, hari Arafah adalah gambaran kecil dari keadaan sebenar hari kiamat. Demi Allah, sekiranya para jemaah haji memerhatikan pemandangan ini dan bagi yang bukan jemaah haji boleh melihat melalui skrin, tentulah akan mengubah keadaan sedia ada kepada keadaan yang lebih baik dan menjadi hati yang tunduk patuh kepada Tuhan. Semua orang yang menyaksikan pemandangan ini dan perhimpunan orang ramai yang sangat besar di Arafat dan mendengar suara, pekikan dan jeritan, dia akan serta-merta berkata: Maha suci bagi Allah, Maha Suci bagi yang mengetahui bahasa mereka, Maha Suci bagi mampu membezakan suara mereka dan Maha Suci bagi yang tertunai hajat mereka.
.

2. Rahmat Tanpa Sempadan

Di Arafat terbuka penutup dan pintu syurga. Oleh itu, para jemaah menuju kepada Tuhan dengan hati yang bersih daripada kegelapan syahwat dan hawa nafsu, dan memancarkan cahaya sehingga menerangi dunia dan semua yang ada termasuklah yang sekecil zarah pun.
Di Arafah terjunjung semangat kemanusiaan tanpa kenal sempadan, antara tuan dan kuli, tua dan muda, kaya dan miskin, raja dan rakyat, mulia atau keji. Di tempat ini satu pelajaran agung iaitu tentang persamaan, di mana tidak ada orang yang boleh membezakan antara kaya dan miskin, tidak juga di antara yang kuat dan lemah, dan tidak juga di antara berkedudukan dan berpangkat dan tidak berkedudukan dan berpangkat.
 

3. Menyaksikan Penyatuan Umat

Perhimpunan umat Islam di Arafah pada hari yang mulia ini memberi peluang besar untuk menyaksikan manfaat Haji seperti yang dikehendaki dan disebut oleh Allah SWT:

وَإِذْ بَوَّأْنَا لِإِبْرَ‌اهِيمَ مَكَانَ الْبَيْتِ أَن لَّا تُشْرِ‌كْ بِي شَيْئًا وَطَهِّرْ‌ بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْقَائِمِينَ وَالرُّ‌كَّعِ السُّجُودِ ﴿٢٦﴾ وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِ‌جَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ‌ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ ﴿٢٧﴾ لِّيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ

“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka.”  (Surah Al-Hajj: 27-28)
.
Manfaat yang paling penting dan menjadi kewajipan yang tidak dapat dielakkan kepada umat Islam: Keperluan untuk kerjasama antara negara-negara Arab dan Islam. Perjumpaan di Arafah ini adalah peluang besar untuk menghapuskan jurang dan memikirkan tentang keadaan dunia Islam.
Di antara faktor yang membantu untuk mencapai kerjasama ini tercapai ialah; umat Islam adalah satu umat yang menggunakan bahasa yang satu, sejarah masa lalu yang satu, objektif yang satu, penyakit yang satu. Mereka di Arafat menuju kepada Tuhan yang satu , memakai pakaian yang satu, pada masa yang satu dan dengan laungan yang satu “Labbaikallah humma labbaik….” Semua ini membantu untuk mencapai kerjasama yang membuahkan kemajuan, kemakmuran,kecintaan dan keintiman, dan menggemblingkan tindakan yang memuaskan hati rakyat negara Arab.
..

4.  Pesanan Terakhir Rasulullah SAW

Inilah hari agung yang mengingatkan kita kepada makhluk yang paling agung yang pernah dijadikan Allah, mengingatkan kita dengan perhimpunan perpisahan di dalam haji Wida’. Tiada masa yang paling hebat dan tiada perhimpunan yang paling indah, melainkan di saat pertemuan antara utusan Allah yang membawa rahmat kepada seluruh alam bersama dengan orang ramai yang khusyuk dan merendak diri di hadapan Allah, Semua mereka memiliki hati yang sedar dan telinga yang mendengar untuk melihat perpisahan dan kata-kata perpisahan, iaitu kata-kata dari Rasulullah SAW yang tidak berkata-kata menurut hawa nafsunya.
.
Seluruh dunia telah mendengar kata-kata Rasulullah SAW yang telah mengumumkan prinsip-prinsip dan nilai-nilai hidup. Antara prinsip-prinsip yang paling penting ialah:
  1. Menghormati nyawa, harta dan kehormatan.
  2. Larangan riba.
  3. Keadilan iaitu satu ciri Islam yang utama
  4. Melindungi dan menjaga nyawa.
  5. Larangan mempersendakan agama Allah.
  6. Hak lelaki ke atas wanita, hak wanita ke atas lelaki.
  7. Ikatan utama umat Islam adalah ikatan akidah dan Islam. Ikatan ini yang membawa mereka kepada prinsip persamaan dan kerjasama dalam perlaksanaan undang-undang Islam.
.
Pada hari ini, Rasulullah SAW merumuskan untuk umat bahkan semua manusia tentang prinsip-prinsip kemanusiaan dan belas kasihan, dan meletakkan mereka kepada asas-asas keamanan dan kedamaian. Antara pesanan lain dari Rasulullah SAW untuk umatnya: Berpegang teguh kepada kitab Allah dan Sunnah Rasulullah SAW. Rasulullah telah menentukan secara tegas bahawa langkah dan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah-masalah yang melanda umat Islam ialah untuk merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.
..

5.  Pembebasan

Sepatutnya umat Islam, yang berada di Arafat dan lain-lain tempat-tempat suci, terutamanya Rumah Allah, jangan melupakan kiblat pertama umat Islam pertama: Al-Aqsa, yang mesti dikembalikan ke pangkuan umat Islam dan membebaskan dari cengkaman bangsa Yahudi. Ini adalah amanah dan tanggungjawab yang akan ditanya oleh Allah kepada kita pada hari kiamat nanti.
Kita memohon agar Allah menjadikan kita pada hari Arafah tergolong orang-orang yang diterima amalnya, orang-orang yang diberikan kemenangan dan orang-orang yang Allah bebaskan dari api neraka.

Penutup

Segala puji bagi Allah, Maha Suci Tuhan yang menerima hamba-hambaNya pada hari Arafah dengan kemurahan hatiNya dan melimpah kurniaNya kepada mereka, kerana memberikan mereka yang terbaik berbanding yang diberikan kepada orang-orang yang meminta lainnya. Allah SWT akan mengampuni segala dosa, menyembunyikan kecacatan dan melepaskan segala kesusahan mereka di akhirat nanti. Wahai para sahabat yang disayangi, bertakarublah kepada Allah SWT dengan ketakwaan sebenarnya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ ﴿١٠٢

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” (Al-Imran: 102).
Dan doa kita yang akhir adalah pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam.
 

GENGAMAN WAKTU DAN KETIKA