December 5, 2011

ISK...


Dah lama tak buet entri dalam blog. Cuti bukannya bererti rehat...tetapi banyak urusan lain dari rutin yg nak kena buat. Move sana sini, bersama anak2 dan Lecture KDC dalam cuti dan bnjirrr...

Utk entri kali ini ana kungsikan utk tatapan anak2 tulisan seorang akhawat yg telah dikungsikan dalam fb. Mintak izin ya ukhti!. Tentunya lebih faham jika antum pernah hadir ISK. Dan sudah pasti rugilah yg berpeluang tapi tak dapat hadir...dan teramatlah rugi bagi sesiapa yg tak pernah pun dengar singkatan ISK ini. Percayalah hidayah itu dekat kepada yg mencarinya...bukannya kepada yg lari darinya!


(minta izin ye ukhtifillah)

Assalamualaikum wbt.

Ketika awal-awal bulan saya di UK ini, saya banyak bertemu dengan senior yang “memeluk” Islam setelah sekian lama berada dalam jahiliyah. Saya berasa pelik;

“Wah, ramai ye berubah sejak datang keluar negara” detik hati saya.

Tidak dapat tidak, perasaan ingin tahu saya menyala-nyala, lantas setiap kali bertemu kakak-kakak yang kembali ke pangkal jalan, jika dirasakan sudah cukup rapat, saya akan bertanya;

“Akak, kenapa akak berubah ye? Sejak bila? Apa turning point hidup akak?” Soalan seorang budak yang ingin tahu.

Jawapan yang saya terima pelbagai. Bermacam-macam. Melihat perubahan mereka, saya mahu juga! Ketika awal-awal bulan pertama itu, saya mulakan proses mahu mencari kebaikan. Saya terfikir:

“Apa agaknya akan jadi turning point hidup aku ye? Mesti ke kena ada 1 peristiwa yang macam tu? Kalau tiada adakah maksudnya aku tak boleh berubah?”

Saya tahu saya tidak boleh tunggu, kerana saya takut “turning point” itu tidak saya alami. Kerana itu, saya menghadiri semua kuliah agama yang ada, ceramah semua saya cuba untuk tunjuk muka. Saya pernah berusrah dengan 3 orang yang berlainan, dan setiap orang akan buat setiap minggu. Maksudnya, masa tahun pertama saya di UK, saya berusrah tiga kali seminggu. Saya dalam pemburuan mencari makna Islam.

Ya, banyak aktiviti keagamaan saya hadiri. Tetapi saya sendiri dapat merasakan sejujurnya hati saya tidak “basah”. Saya rasa sama sahaja pandangan saya terhadap Islam, tidak berubah. Saya masih tidak nampak di manakah Islam sebagai Ad-Deen itu. Saya masih tidak dapat menghayati Islam. Yang beza bila saya banyak menghadiri aktiviti agama, ilmu itu bertambah sedikit demi sedikit. Tetapi seperti saya katakan, tidak basah. Masih tidak dapat menghayati.

Allah memberi pada yang mencari.

Salah satu naqibah saya menjemput pergi ke Program Ini Sejarah Kita (ISK). Saya beri respon positif. Saya hadir dengan harapan yang sama saya letakkan pada setiap majlis ilmu yang saya hadir, semoga Allah melemparkan hidayah dalam hati saya.

Pagi itu, saya hadir, duduknya di tengah-tengah, agak hadapan. Mahu fokus yang penuh dan maksimum. Nama pun sejarah kita. Nah! Saya dihidangkan dengan sejarah Islam, sejak sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW lagi, sehinggalah zaman sekarang ini. Sejak Rasulullah SAW dilahirkan, berdakwah secara rahsia, terang-terangan. Baginda membina negara Islam pertama, lalu empayar Islam disambung dengan khalifah-khalifah unggul. Yang akhirnya tersungkur kerana Islam yang diamalkan tidak lagi Islam dalam hati yang disanjung.

Saya sedar juga. Wah. Selama ini saya ada tugas rupanya. Agar membantu menegakkan Islam kembali. Saudara di Palestin yang menderita, itu bukan omong kosong rupanya. Rupa-rupanya Palestin itu memang isu bersama. Rupa-rupanya Al-Aqsa itu memang harus direbutkan. Rupa-rupanya itu memang milik kita.

Itu semua memang berat untuk fikiran saya. Terasa satu pencerahan tentang satu isu besar tentang kehidupan yang selama ini hanya dianggap sebagai isu sebelah mata.

Tapi bukan itu saja. Saya ceritakan zaman jahiliyah saya bukan mahu membuka aib sendiri. Tetapi saya hanya mahu berkongsi. Malaysia sekarang dilanda arus hiburan dari Korea tidak kira perempuan mahu pun lelaki. Malangnya saya tidak terkecuali. Ketika itu saya bangga saya tahu semua berita mengenai hiburan Korea. Saya fikir, alah sembahyang juga, datang usrah juga. Oklah ni, hiburan sikit apa salahnya. Saya bangga kalau sebut apa-apa, saya sudah tahu dahulu. Boleh kira saya berada di saf hadapan (haha!). Tetapi! Semasa ISK. Ada video pendek. Dimainkan di hadapan saya. Pertengahan video itu, ada tulisan “berhala zaman moden” dengan gambar-gambar yang dimaksudkan berhala ialah artis-artis kegemaran saya. Tersentap saya seketika. Saya diam. Saya sudah tidak peduli isi video yang selepas itu. Otak saya ligat berfikir. Berhala? Korea? Saya selama ini menyembah mereka tanpa saya sedari! Saya diam. Sesi-sesi selepas itu, saya tahu dalam program ini ada sesuatu. Saya tambah fokus saya. Terus bertanya apa yang akal saya tidak dapat mencerna.

Perjalanan balik dari ISK, saya merasakan satu perasaan yang kompleks. Saya berasa diperhatikan. Saya rasa ada “sesuatu” yang melihat, dan saya tahu yang melihat itu ialah Allah. Saya rasa concsious dengan “sesuatu” yang melihat saya itu. Tiba-tiba sahaja benda ini terjadi. Ketika itu, saya rasa vulnerable. Saya rasa lemah. Saya rasa bila-bila masa saya boleh mati jika Dia mahu. Saya rasa kaki saya sangat tidak berdaya untuk melangkah. Saya rasa langit yang besar itu tiba-tiba boleh runtuh dan menghempap saya. Saya terbayang ayat-ayat Al-Quran yang menceritakan tentang hari kiamat, neraka dan azabnya, yang selama ini tidak dapat saya hayati, saya rasakan ayat-ayat itu sesak mengasak dada. Sukar bernafas. Itu semua terjadi dalam perjalanan balik.

Balik ke dalam bilik, saya tenangkan hati. Saya fikir, “Wah hebat betul penangan ISK tadi”. Saya fikir perasaan ini akan reda. Sebab saya pernah juga merasa insaf tiba-tiba, tetapi bukan dalam magnitude sebegini.

Saya silap. Seminggu perasaan saya kacau bilau. Sejak itu, bila saya berjalan, saya berjalan cepat, akan lari masuk ke dalam bangunan. Kerana saya takut langit akan menghempap saya bila Dia mahu. Tetapi bila saya masuk ke dalam bangunan, saya tidak boleh duduk diam. Saya rasa bangunan itu boleh runtuh. Satu benda lain terjadi. Dulu saya duduk di Opal 2. Kiblat saya menghadap tingkap. Dan langsir memang saya selalu biarkan terbuka. Sejak saya balik dari ISK, kalau mahu solat saya kena duduk dulu 5 minit tenangkan hati, sebab kalau tidak, semasa solat kaki saya akan longlai sendiri, dan saya jatuh. Kenapa? Sebab sembahyang saya menghadap langit yang luas itu. Terutamanya malam. Saya rasa saya berhadapan betul-betul dengan yang Maha Kuasa itu. Saya rasa malaikat-malaikat semua memandang saya. Saya sangat merasakan Allah melihat saya.

Akhirnya, keadaan menjadi lebih teruk. Saya takut mahu keluar bilik. Perasaan ini terlalu berat untuk saya tanggung. Akhirnya, saya tak tahan lagi, saya bertemu salah satu naqibah saya untuk bercerita. Nampak saja mukanya air mata saya berderai. Saya ceritakan padanya. Perihal langit mahu menghempap saya. Perihal di kala solat kaki saya longlai tidak boleh berdiri. Perihal saya tiba-tiba merasakan semua ini. Perihal saya tidak peduli lagi hal-hal yang lain, yang hanya saya terfikir, kiamat, neraka, azab dan mati.

Naqibah saya. Saya speechless. Saya sangat bersyukur diberi kesempatan untuk berusrah dengannya. Dalam ketiga-tiga usrah yang saya hadiri, usrah dengannya paling menyentuh hati. Dalam pertemuan itu, dia berkata, ketakutan yang saya rasa itu, adalah ketakutan kepada Allah. Itu sepatutnya memang kita kena rasakan. Tetapi dalam masa yang sama, harapkan keampunan dariNya. Percaya Dia itu penyayang, pengampun. Perasaan itu sepatutnya diuruskan seperti apa yang diajarkanNya. Ada khauf dan raja’. Ada takut dan mengharap. Penyelesaiannya bukan lari. Tetapi taubat.

Perjalanan balik. Saya mendongak melihat langit. Saya bersyukur. Saya lega. Saya faham sekarang. Saya rasa seperti satu kelubung hitam yang selama ini menutupi 20 tahun kehidupan saya, telah diangkat. Saya rasa satu perasaan yang tidak pernah saya rasakan. Saya rasa “Islam”. Satu demi satu ilmu yang selama ini saya katakan saya tidak faham dan tidak dapat hayati, satu persatu saya terbayang dalam kepala, satu persatu semua menjadi jelas dan sempurna. Sempurna setelah saya faham Islam. Benarlah, tahu dan faham itu lain. Tahu Allah itu Maha Besar, tidak sama dengan faham Allah itu Maha Besar.

Hanya kesyukuran dapat saya panjatkan, setelah Allah beri kefahaman Islam.

Oh cerita berhala tak habis lagi. Alhamdulillah, berhala-berhala itu semua sudah lama saya tinggalkan. Korea? Saya tidak minat, saya tidak tahu. Malahan jelik mendengarnya.

Kesimpulan.

Saya bukanlah mahu berkata jalan saya ini harus atau akan ditempuhi semua orang. Tetapi hidayah Allah itu perlu dicari. Bayangkan jika kita mahu ke Perlis. Mahu menumpang kereta di tengah highway. Tetapi berdiri di jalan yang arahnya ke Johor sana. Sampai bila tiada yang mahu menumpangkan. Mahu mencari hidayah, cari di tempat yang betul. Cari di majlis ilmu. Jangan cari di tempat maksiat bercampur gaul lelaki perempuan dengan bebasnya tanpa batasan.

Saya tidak katakan semua orang akan berjumpa turning point ini. Saya sendiri tidak tahu adakah semua orang akan mengalaminya. Satu tahap di mana kita sendiri menyanjung tinggi Allah di dalam hati. Saya tidak katakan juga anda akan bertemu hidayah di ISK seperti saya, itu rezeki saya, yang Allah susunkan untuk saya. Yang saya boleh cakap hanyalah, harap, harap dan sentiasa berharap yang Allah akan beri kita hidayah, tidak kiralah dalam apa jua keadaan. Oleh itu jika ada aktiviti keagamaan, lapangkan waktu dan beri kesempatan. Setiap kali ke majlis ilmu, lapangkan dada selapang-lapangnya. Terima ilmu itu, cuba untuk faham dan fokus. Kita tidak tahu bagaimana Allah mahu memberi hidayah.

“Hidayah itu umpama bilik yang tertutup, kita harus berusaha untuk membuka. Hidayah juga seperti air hujan, yang jika kita mahukan perlu ditadah bukan hanya termengadah”

Namun, kita juga harus berdoa, agar hidayah yang diberi Allah itu, tidak ditarik semula. Sebab itu doa kita harus bergandingan.

“Ya Allah, Kau berikanlah aku taufiq dan hidayah”

“Ya Allah, kau berikanlah aku petunjuk dan kekuatan”

Doa agar diberi kekuatan untuk terus tsabat atas jalanNya. Dan doa juga agar Dia tidak menarik kembali hidayah yang telah Dia campak ke dalam hati kita.

Banyak benda kita harus berdoa. Doa itu senjata orang mukmin.

Wallahualam bissawab.

3 comments:

me said...

boleyh tau x yg video berhala moden tu cmne ek?

Abuuwais said...

isk dpenuhi video, dan slide showw yg sarat info dan sejarah islam yg kita telah melupainya, cerita video tu tak faham kalau di tulis disini.Cuma klau adiq ada peluang menyertainta nanti..jangan lepaskan peluang utk ikutinya. Di mana IPT kat malaysia pun ada ISK ni...

Abuuwais said...

isk dpenuhi video, dan slide showw yg sarat info dan sejarah islam yg kita telah melupainya, cerita video tu tak faham kalau di tulis disini.Cuma klau adiq ada peluang menyertainta nanti..jangan lepaskan peluang utk ikutinya. Di mana IPT kat malaysia pun ada ISK ni...

GENGAMAN WAKTU DAN KETIKA