June 25, 2011

Antara Hukum Kebetulan dan Bukti Kekuasaan Pemikil Alam...


PETIKAN DARI LAMAN WEB SEBERANG....

Apabila kita secara mudah dapat memahami bahawa sesuatu kejadian yang berlaku secara kebetulan atau tanpa sengaja itu akan semakin mengecil kemungkinannya apabila ianya berulang-ulang, malah akan menjunam ke tahap mustahil akhirnya, maka kita menjadi mudah memahami hakikat alam ini tidak mungkin berlaku dan terjadi secara kebetulan. Ia mesti dengan satu kehendak yang sengaja, berniat dan bermotif.

Kita misalkan lagi, seorang buta yang tidak pernah menembak, tiba-tiba menembak tepat ke sasaran dari jarak 100 meter, walaupun sukar dipercayai, tetapi ‘hukum kebetulan’ akan membenarkan. Tetapi bolehkah dibenarkan jika tembakan tepat itu berulang-ulang sampai 10 atau 100, apatah 1000 kali? Sudah tentu mustahil. Kecuali dia seorang buta yang luar biasa atau buta yang celik!

Sekarang mari kita lihat kepada alam semesta. Anda akan dapati ‘hukum kebetulan’ adalah mustahil secara mutlak. Contoh si buta tadi, walaupun dikira mustahil, tetapi dia adalah manusia yang tetap berakal, berfikir dan berusaha untuk menembak dengan tepat. Adapun alam ini, adakah ‘hukum kebetulan’ itu adalah pemikir? Ia berfikir untuk mencipta dan mentadbir alam ini?
Lihat unsur-unsur gas yang begitu banyak di alam ini, samada di bumi atau di langit, yang terbentuk daripada kesebatian di antara zarah-zarah yang membentuk atom dan molekul, bagaimana dibayangkan satu sistem tetap tak berubah yang membolehkan hidrogen yang paling ringan misalnya, tidak bertukar menjadi uranium yang menakutkan sekali kekuatannya melalui tergelincirnya jumlah dan komposisi elektron, proton dan neutron daripada hukum dan sunnahnya, tanpa kita akur bahawa ia mustahil berlaku tanpa satu kuasa agung yang memperakukan dan menjamin satu hukum pasti padanya? Jika perubahan-perubahan kimia di dunia ini keluar sedikit sahaja daripada hukumnya, nescaya tiada kehidupan apapun yang boleh hidup di dalamnya. Dengan erti, mustahil sistem dan sunnah ini terjadi secara kebetulan. Ini mesti ada akal, kehendak, kesengajaan dan kekuatan yang menguruskannya. Adakah kekuatan itu namanya ‘kebetulan’ atau namanya Allah?

Kemudian, sistem suria ini, dengan bilangan bebola gergasinya yang tak terhitung jumlahnya, bagaimana dibayangkan harmoninya pergerakan mereka di orbit masing-masing tanpa pertembungan sesama sendiri yang jika terjadi, pasti membentuk kiamat ngeri buat kehidupan, adalah tersusun tanpa tangan, kehendak dan kemahuan yang memaksakan hukum ke atasnya? Sedangkan sebuah bandar manusia yang sesak kenderaan yang dialirkan di jalan-jalan raya yang telah ditulis pakai undang-undangnya oleh polis, Jabatan Pengangkutan Jalan dan perancang bandar, hari-harinya adalah cerita kemalangan dan malapetaka! Adakah alam semesta ini telah terbentuk melalui hukum tak sengaja atau kebetulan?!

Bagaimana pula dibayangkan teraturnya kejadian siang dan malam, pertukaran musim, hubungan intim bumi dan bulan, angin dan hujan, lautan dan darat, gas-gas yang beracun dan berkuasa tinggi, hukum graviti dan pelbagai rahsia alam lagi, adakah semuanya itu berlaku secara kebetulan? Maha suci Allah yang menunjuki zatNya melalui penciptaanNya yang menakjubkan.

3) Fenomena kehidupan
Selepas kita memahami bukti pertama dan kedua melalui fenomena barunya alam ini dan fenomena wujudnya satu kehendak ke atas kejadian alam ini, maka mari kita melihat kepada fenomena ketiga yang tersaksi di dalam kehidupan ini yang membuktikan kewujudan dan keesaan Allah. Fenomena tersebut adalah fenomena wujudnya kehidupan atau hayat. Kewujudan ini adalah lautan benda atau material. Tetapi, di dalamnya wujud suatu unsur yang lebih menakjubkan iaitu kehidupan. Manusia hari ini dek kerana terlalu menakjubi kehidupan, telah sampai bermati-matian untuk mengesan kewujudan makhluk kehidupan di luar bumi. Tanpa kehidupan, kewujudan benda adalah gersang dan tanpa seri.

Apakah kehidupan? Mereka yang enggan kecuali bertuhankan material dan akal kontang pernah berkata, kehidupan itu berasal usul daripada satu sel yang halus. Daripadanya berlakulah pembiakan, evolusi dan seterusnya lahirlah bilionan kehidupan sebagaimana hari ini!

Manusia itu penuh nafsu dan kedegilan. Semasa perang dunia kedua, perang ideologi juga beriringan. Kerajaan Rusia telah memperuntukkan sejumlah besar kewangan buat saintisnya melakukan kajian untuk suatu yang tidak terfikir oleh manusia sebelumnya, mampukan manusia mencipta kehidupan? Selepas hampir 20 tahun kajian makmal, mereka keluar dengan satu rumusan rasmi yang disiarkan di seluruh dunia, bahawa sesungguhnya ilmu kimia tidak mungkin mampu mencipta kehidupan! Ilmu manusia tiada kekuasaan selain perihal material. Kehidupan bukanlah material. Kehidupan adalah keajaiban yang sukar difahami.

Manusia terus degil. Apabila ditanya, apakah tindak balas kimia dan perubahannya mungkin mencetuskan kehidupan? Mereka menjawab, ya, tetapi ia hanya boleh berlaku di planet lain selain planet bumi! Akhirnya mereka berkonklusi, kehidupan sebenarnya bermula dari satu mikro halus di planet asing terbang melayang di mana-mana dan menemui kesesuaiannya di bumi! Malangnya, kekeliruan semakin sengit dan bertimpa-timpa. Bagaimana ia mampu datang dalam dominan sistem cakerawala yang begitu membunuh kehidupan dan bagaimana pula daripadanya boleh tercipta bilionan kehidupan pula di bumi?

Katakan, mereka terus menjawab, tetapi soalan akhir adalah soalan pertama dan asal, siapakah pula yang menciptakan kehidupan pertama bagi mikro halus di planet asing tersebut? Soalan berulang-ulang yang membingungkan otak manusia yang tidak pernah mahu beriman kepada kekuasaan ilahiyah!

Hakikatnya, apapun benda atau material yang wujud, ia tiada akal untuk memikirkan hukum ke atas dirinya sendiri. Zarah-zarah halus yang menjadi asal pembentukan benda hanya mampu tunduk kepada hukum tindak balas kimia, graviti, haba dan sebagainya di sekitarnya. Adapun kehidupan, ia adalah berbeza yang kelainannya adalah menakjubkan.
Daripada kehidupan parasit mikro seperti ameba, tumbuhan, haiwan dan seterusnya raja alam ini iaitu manusia, kehidupan memiliki apa yang tidak dimiliki oleh benda dan material. Tanah adalah material, tetapi di dalam segenggam tanah ada jutaan kehidupan yang merayap yang berilmu, berkehendak dan berkuasa untuk bertindak! Mereka memiliki sifat-sifat tersebut walaupun pada kadar dan kapasiti yang berbeza-beza sekali.
Kemuncaknya adalah manusia yang memiliki segala kekuasaan ke atas semua kejadian di bumi. Ia adalah kejadian yang diberi kesempurnaan untuk menguasai dan merajai kehidupan. Manusia berupaya untuk menambah ilmu, merumusnya, berkehendak, memilih dan menentukan, seterusnya berkuasa melaksanakan. Kemudian manusia juga memiliki suatu yang sungguh seni. Kita namakannya perasaan! Adakah ini tercipta dari zarah, sel dan bentuk-bentuk yang material dan kebumian sifatnya. Tidak mungkin bukan?
Islam menamakannya sebagai ruh. Mereka terus bertanya, apakah itu ruh? Katakanlah, itu urusan Allah. Kita tiada diberi maklumat mengenainya kecuali terlalu sedikit. Kita hanya mengesani kewujudan dan kehadirannya. Kehidupannya? Allahlah pencipta yang mengetahui segala-galanya.

Sekarang anda telah melihat betapa fenomena kehidupan yang wujud di alam ini adalah sesempurna dalil untuk membuktikan kewujudan dan kekuasaan Allah, tuhan pencipta segala. Maha suci Allah daripada sebarang kekurangan.

No comments:

GENGAMAN WAKTU DAN KETIKA